IPOH: Walaupun sekadar raptai penuh, tetapi kira-kira 5,000 warga Perak telah membanjiri Stadium Perak malam ini untuk menyaksikan raptai penuh warna warni itu.

Antara kelainan yang disaksikan ialah penggunaan skrin LCD terbesar di negeri Perak, sebesar padang bola sepak dan sarung keris terbesar untuk obor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, YB Howard Lee berkata, teknologi terkini ICT juga digunakan di dalam majlis perasmian.

“Melalui penggunaan teknologi ICT ini juga kita akan paparkan pengkesahan asal usul negeri Perak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyaksikan raptai itu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal dan Penasihat SUKMA XIX, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

YB Howard Lee menjangkakan, berdasarkan keterujaan rakyat Perak, kira-kira 40,000 orang akan membanjiri Stadium Perak dan kawasan sekitarnya untuk memeriahkan upacara perasmian yang akan disempurnakan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ada 11 September ini.

“Stadium ini boleh memuatkan kira-kira 25,000 orang dan kita juga sediakan tiga skrin besar di sekitar
stadium untuk memberi peluang orang ramai menyaksikan upacara perasmian,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kira-kira 6,000 orang akan mengambil bahagian di dalam persembahan pembukaan, termasuk kumpulan kebudayaan, pelajar sekolah dan orang Asli.

Beliau turut mengesahkan bahawa perasmian penutup SUKMA XIX pada 22 September ini akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.