KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah Tahun 2017 kepada 51 pertubuhan kebajikan di seluruh Perak di Galeri Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Turut mengiringi ialah dua adinda baginda, Raja Datuk Seri Yong Sofia Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Datuk Seri Azureen Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Hadir sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Azlan Shah, Datuk Seri Zainal Adzam Abd Ghani juga merangkap Ahli Dewan Negara Perak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Antara pertubuhan kebajikan yang menerima kurniaan tersebut ialah Persatuan Kebajikan Untuk Orang Cacat Malim Nawar, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Rumah Wawasan Manjung, Yayasan Tuanku Bainun dan Rumah Orang-Orang Tua (P. K. K) Simee.