IPOH: Taktik licik menempatkan seramai 38 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga China dan Vietnam di sebuah tempat persembunyian bawah tanah berjaya dibongkar oleh polis Bukit Aman dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Medan Ipoh di sini pada awal pagi Rabu.

Ketua operasi Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, Supt Fazlisyam Abdul Majid berkata, dalam operasi tujuh jam itu yang bermula pukul 12 tengah malam, pihaknya menemui dua bilik rahsia bawah tanah yang dijadikan tempat persembunyian wanita berumur lingkungan 20-an dan 30-an.

“Ketika serbuan, premis terbabit tutup dan kami terpaksa memecahkan pintu masuk. Menyedari kehadiran polis, tujuh wanita Vietnam dan 31 warga China, termasuk seorang ibu ayam bersembunyi dalam dua bilik bawah tanah.

“Kami meminta bantuan bomba mengeluarkan kesemua wanita kerana bilik tersebut menggunakan pintu besi dengan menggunakan sistem hidrolik dan ia mengambil masa kira-kira empat jam untuk membuka pintu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Menurutnya, bilik berketinggian hampir dua meter dan berkeluasan 500 kaki persegi itu dilengkapi dengan tilam, pendingin hawa serta bekalan makanan dan minuman.

Fazlisyam berkata, bilik tersebut sebelum ini pernah diserbu sekurang-kurangnya tujuh kali tetapi serbuan hari ini adalah yang paling berjaya.

“Serbuan seumpama ini merupakan pertama kali berlaku yang membabitkan persembunyian di bawah tanah dengan menggunakan pintu dengan sistem hidrolik kerana sebelum ini mereka hanya bersembunyi di dalam stor, di dinding dan atas siling.

“Ini merupakan satu tempat persembunyian yang canggih dan tidak menolak kemungkinan pembinaan bilik itu melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati premis ekslusif itu telah beroperasi lebih dua tahun dan mengenakan bayaran antara RM3,000 dan RM5,000 untuk tempahan satu bilik karaoke.

“Premis itu sememangnya dikenali dan pelanggan boleh membuat tempahan. Bagi seorang wanita, bayaran dikenakan mencecah RM300, jika pelanggan ingin membawa keluar, bayaran RM800 sehingga RM1,000 selama 24 jam,” katanya.

Fazlisyam berkata, pihaknya akan mengesan pemilik premis terbabit.

Terdahulu, dalam serbuan berasingan, pasukan STAGG turut menahan 15 warga Vietnam di sebuah pusat hiburan di Pekan Baru di sini.