MANJUNG: Seramai 54 penduduk di dua buah kampung di sini yang terjejas banjir pada November lalu, menerima bantuan kewangan bagi membantu meringankan masalah mereka.

Mereka terdiri daripada penduduk dua buah kampung iaitu Kampung Dato’ Seri Kamaruddin dan Kampung Pundut.

Bantuan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis di Dewan Kuil Maha Mariaman, Jalan Kuari, Pundut pada Selasa.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim; Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango dan Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Dalam ucapannya, Dr Zambry berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Bagi tujuan itu, kata beliau, pemimpin kerajaan sentiasa turut padang untuk melihat, mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat.

Bagaimanapun, katanya, ada pihak yang hanya datang di masa-masa tertentu, khususnya menjelang pilihan raya, semata-mata untuk meraih sokongan.

“Itu bukan cara kita kerana kita akan terus datang untuk melihat agar masalah yang dihadapi rakyat selesai,” ujarnya.