IPOH 31 Dis. – Sebanyak 545 peneroka tanah Plot PN35553 Lot 9108 di Mukim Hutan Melintang memohon campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka sejak 24 tahun lalu.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindaknya, M. Nagappan berkata, mereka mahu kerajaan negeri menyiasat kembali kes tanah tersebut bagi mendapat satu jalan penyelesaian adil yang memihak kepada peneroka.

Beliau mendakwa, sehingga kini, para peneroka masih belum mendapat hak milik tanah mereka sejak kes berkenaan dirujuk ke mahkamah pada tahun 1994, malahan mendakwa, firma guaman yang menipu mereka masih menikmati hasil jualan tuaian kelapa sawit melibatkan tanah seluas kira-kira 1,473 hektar itu.

“Tanah itu pada asalnya telah dibeli dan dibahagikan kepada seramai 741 peneroka pada tahun 1980. Namun, sebilangan daripada peneroka telah berputus asa apabila tanah berkenaan dilelongkan oleh sebuah institusi perbankan tanpa pengetahuan mereka.

“Peguam sebuah firma guaman telah merujuk kepada peneroka untuk menghulurkan bantuan bagi mengambil alih tanah tersebut daripada dilelongkan. Namun begitu, kami tertipu apabila peguam berkenaan telah mendaftarkan tanah itu atas nama sebuah firma serta menjual hasil penuaian tanpa memberi sebarang hasil kepada peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nagappan mendakwa, beberapa keputusan kes berkenaan seperti di Mahkamah Rayuan pada 2010 dan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014 telah memihak kepada peneroka.

Namun dakwanya, tuntutan pelaksanaan keputusan penghakiman di Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014 itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 1 November lalu dengan alasan pihak peguam mereka tidak mengambil tindakan sepatutnya dalam tempoh ditetapkan iaitu dalam masa sebulan selepas keputusan penghakiman.

“Sehubungan itu, kami memohon kepada Menteri Besar untuk menyelesaikan kes ini kerana kami sudah tidak mempunyai tempat lain untuk mendapatkan pembelaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE