IPOH: Sebanyak 594 unit rumah di bawah projek Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) sedang giat dibina di seluruh negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, PPA1M dilaksanakan bagi memberi peluang penjawat awam, khususnya dari kumpulan sokongan untuk memiliki rumah sendiri.

Menurut beliau, harga rumah projek ini adalah antara RM90,000 hingga RM300,000 seunit, mengikut kawasan dan lokaliti dan selari dengan had kelayakan penjawat awam Gred N27 ke bawah.

“Buat pengetahuan semua, had kelayakan pinjaman perumahan kepada kakitangan kumpulan sokongan ialah daripada RM200,000 sehingga RM270,000, bergantung kepada tangga gaji dan elaun tetap tahun semasa penjawab awam berkenaan ,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.

Rusnah menambah, kelulusan itu juga bergantung kepada syarat-syarat lain seperti syarat perbankan dan status hutang pemohon itu sendiri iaitu tidak melebihi 60 peratus potongan emolumen bulanan.

Beliau memberitahu, buat masa ini, terdapat enam kawasan yang bersesuaian dengan kelayakan pinjaman golongan kumpulan sokongan ini yang sedang dibina di Perak, iaitu di Meru Raya (240 unit), Taman Sri Asoka, Tapah (69 unit), Akasia, Gerik (53 unit), Taman Amanjaya 1, Parit Buntar (34 unit), Taman Kerian Indah, Kerian (71 unit) dan Taman Desa Aman, Kampar (91 unit).

Selain itu, katanya, projek PPA1M Ipoh City Premier yang berharga RM295,000 (36 unit) turut dibina di Ipoh sebagai pilihan kepada penjawat awam yang mempunyai tangga gaji dan kelayakan pinjaman perumahan yang lebih tinggi.