IPOH : Pelaksanaan 5G pertama di Perak akan dibangunkan di Proton City, Tanjung Malim yang dijangka awal suku pertama tahun ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ketika mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Perak semalam.

Menurutnya, beliau juga telah diberi taklimat oleh SKMM mengenai perkara tersebut.

“Proton City dipilih sebagai lokasi pertama berdasarkan keperluan 5G untuk membantu perkembangan bandar automotif itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Santuni Pelajar Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelapang Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk pelaksanaan 5G, terdapat kluster-kluster yang terpilih seperti di Langkawi atas faktor pelancongan dan di Terengganu kerana kaitan industri minyak dan gasnya.

“Di Perak ini keperluannya adalah di kawasan industri automotif iaitu di daerah Muallim,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri sedia mengemukakan permohonan agar 5G turut dibangunkan di Pangkor selaras dengan pengisytiharan sebagai pulau bebas cukai.

Bagaimanapun, kata Hasnul, ia bergantung kepada komitmen syarikat telco yang membuat pelaburan dalam membangunkan infrastruktur 5G di negara ini.

“Kalau ikut perancangan akan ada peringkat-peringkat kawasan tetapi saya tidak boleh beritahu secara spesifik kerana ia bergantung kepada pelaburan syarikat-syarikat telco sendiri,” katanya.