LA PAZ: Polis menyerbu penjara yang dilanda rusuhan di Bolivia awal semalam, membunuh enam banduan dalam operasi yang juga menyebabkan puluhan lagi cedera.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jose Luis Quiroga, berkata enam yang maut di penjara Palmasola adalah banduan yang menentang serbuan polis.

Polis berkata, lima anggotanya dan 18 banduan lain cedera dalam kejadian itu, yang dilancarkan untuk mencari senjata dan dadah di penjara susulan rusuhan yang berlaku.

Kira-kira 2,300 anggota polis menyerbu blok sel sebelum subuh, seminggu selepas rusuhan yang dicetuskan arahan kerajaan yang melarang kanak-kanak di bawah enam tahun melawat saudara mara yang dipenjarakan.

Isteri dan anak tinggal secara sukarela dengan saudara-mara mereka yang dipenjarakan. Mereka dibenarkan meninggalkan kompleks itu sebelum serbuan bermula, kata Quiroga.

Quiroga juga berkata, rusuhan berpunca daripada perebutan kuasa dalam kalangan banduan.

Katanya, apabila polis menyerbu penjara, sebahagian banduan melepaskan tembakan, mencederakan tiga anggota polis dan menyebabkan polis membalas tembakan. – AFP