NIBONG TEBAL: Enam identiti pemancing yang dikhuatiri hilang di perairan Pulau Pinang selepas keluar memancing dari Jeti Nelayan Kampung Datuk Keramat dekat sini, Sabtu lalu sudah dikenalpasti.

Mereka adalah Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30, Mohd Azmil Abdul Rahman, 31, Mohd Faiz Ibrahim, 30, Lee Chee Sen, 49, Mohd Rajis Jamil, 35, dan Khairil Hafidzi Tajuddin, 31.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superitendan Shafee Abd Samad, berkata polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini menggerakkan aset untuk operasi mencari dan menyelamat pemancing berkenaan.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superitendan Shafee Abd Samad.
“Kita menerima laporan daripada abang salah seorang pemancing yang memaklumkan adiknya tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing pada Sabtu lalu dan gagal dihubungi.

“Usaha mencari dan menyelamat kini sedang digiatkan,” katanya.

Kesemua pemancing terbabit dikatakan menaiki bot fiber berjalur merah, biru dan hitam.

Orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 – berita harian