POLIS Sabah menerima enam laporan membabitkan kes penyalahgunaan kad pengenalan orang lain untuk tujuan mengundi di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata laporan itu diterima sejak bermulanya proses pengundian di beberapa lokasi sehingga tengah hari.

“Enam kes ini membabitkan masing-masing dua kes di Tawau dan Papar serta satu kes di Semporna dan satu kes di Kudat.

“Polis kini menyiasat lebih lanjut berhubung kes itu termasuk merakam percakapan pengadu,” katanya kepada media selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid.

Ramli berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3(1)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengenai perkembangan di pusat mengundi di seluruh negeri, beliau berkata, tiada kejadian tidak dingini dilaporkan dan proses pengundian berjalan lancar.

“Tiada insiden tidak baik berlaku…kita berpuas hati dengan proses mengundi di seluruh Sabah setakat ini.

“Semua Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi apa jua situasi,” katanya – berita harian

BERITA BERKENAANNizar Dakwa Tidak Dibernarkan Melawat Pusat Mengundi