LONDON: Polis Britain menahan enam lelaki susulan penyebaran video di internet, memaparkan sekumpulan lelaki melakonkan semula insiden kebakaran Menara Grenfell, dengan membakar arca bangunan itu.

Aksi terbabit dikatakan bagi meraikan sambutan perayaan Guy Fawkes’ Night.

Polis dalam satu kenyataan berkata, kesemua lelaki itu sudah dibebaskan semalam, tetapi siasatan kes berkenaan masih diteruskan.

Video yang sudah disebarkan menerusi laman sosial itu menunjukkan arca model menara yang diperbuat daripada kadbod, dengan beberapa gambar guntingan penduduk di bahagian tingkap di atas unggun api.

Dalam video itu, sekumpulan lelaki berkenaan dilihat menari dan membuat jenaka ketika arca itu terbakar.

Menara Grenfell yang dihuni penduduk pelbagai kaum, selain mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain, musnah dalam kebakaran pada 14 Jun 2017, selain mengakibatkan 71 mangsa maut.

“Tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia seolah-olah menghina mangsa Menara Grenfell, keluarga mereka dan orang tersayang,” kata Perdana Menteri Britain, Theresa May di Twitter.

Menurut polis, keenam-enam lelaki berusia antara 19 hingga 55 tahun itu ditahan kerana disyaki menjejaskan ketenteraman awam dan diserahkan kepada balai polis di selatan London.

Pada awal November setiap tahun, penduduk di kawasan kampung dan bandar di seluruh Britain akan mengadakan pesta bunga api dan membakar arca Guy Fawkes, iaitu dalang yang bertanggungjawab meletupkan Parlimen pada 1605.

Arca bekas Setiausaha Luar Negara Britain, Boris Johnson dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga pernah dibakar peserta sambutan Guy Fawkes’ Night. – Reuters