SHAH ALAM: Enam pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan muntah akibat kebocoran gas ammonia sekali lagi di sebuah kilang ais di Desa Latania, Seksyen 36 di sini, pagi tadi.

Difahamkan, semua pelajar perempuan berusia 15 hingga 17 tahun itu dibawa ke Hospital Shah Alam (HSAS) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pengetua sekolah itu, Lim Peck Poh, disahkan sudah mengarahkan semua pelajar pulang ke rumah sebagai langkah keselamatan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengetua sekolah berkenaan pada jam 7.04 minit.

“Sejurus menerima panggilan mengenai pelajar terhidu gas ammonia itu, sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian.

“Bacaan di lokasi dalam kilang dan kawasan persekitaran mendapati berada di bawah 40 Part Per Million (PPM) dan masih lagi terkawal.

“Ketika kejadian, tiada siapa berada di dalam kilang berikutan masih tidak dibenarkan beroperasi.

“Setakat ini, keadaan terkawal dan kita difahamkan sekolah berkenaan ditutup bagi keselamatan pelajar,” katanya.

Alimaddia berkata, pihaknya akan berada di lokasi kejadian bagi memantau tahap kandungan gas ammonia di udara.

Isnin lalu, NSTP melaporkan dua pekerja warga asing maut selepas terhidu gas ammonia di kilang sama.

Dalam kejadian jam 5.11 pagi itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang maut dipercayai terhidu gas ammonia yang bocor dari tangki simpanan bahan ammonia ketika sedang bekerja.

Seramai tujuh mangsa termasuk yang maut mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, manakala enam ke Hospital Shah Alam, tiga ke Hospital Sungai Buloh dan empat dihantar ke Hospital Banting.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut mengarahkan kilang ais itu ditutup serta merta sehingga proses siasatan selesai – berita harian