GEORGETOWN: Enam penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang direman sejak Rabu dan Ahad lalu, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Sumber SPRM berkata, tiada permohonan sambung reman akan dikemukakan terhadap enam anggota terbabit.

“Tidak wujud isu untuk mengemukakan permohonan sambung reman ke atas semua penguat kuasa JPJ negeri yang disiasat bagi kumpulan pertama dan kedua.

“Namun, permohonan reman berkemungkinan dibuat bagi penguat kuasa JPJ negeri dalam kumpulan ketiga dengan bilangannya akan ditentukan selepas sesi rakaman percakapan selesai nanti,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata kertas pertuduhan kes terbabit akan disiapkan secepat mungkin untuk diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, seramai 21 anggota penguat kuasa JPJ negeri, termasuk seorang wanita berusia antara 26 hingga 40-an, hadir menjalani sesi rakaman percakapan di Pejabat SPRM Pulau Pinang, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Mereka adalah kumpulan ketiga diarah merakam percakapan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penguat kuasa JPJ negeri berjawatan daripada Gred 19 hingga Gred 32 disiasat dalam Ops Sarat setakat ini ialah seramai 67 anggota.

Difahamkan, sekurang-kurang 75 anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas dikatakan hanya dikenali serta difahami penguat kuasa terbabit – Berita harian