IPOH: Lebih 60 program telah dianjurkan setakat ini oleh kerajaan negeri dan bersama rakan strategik untuk menjayakan Tahun Melawat Perak 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia akan diteruskan kerana penting untuk meningkatkan lagi bilangan pelancong domestik dan antarabangsa.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menggerakkan pelbagai usaha di dalam mensasarkan dan mempromosi negeri Perak dengan fokus di negara-negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.

Beliau berkata, berkat usaha dan kerja keras kerajaan dan sektor swasta, Perak telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan daripada pelbagai pihak dalam dan luar negara.

“Malangnya anugerah ini mungkin satu perkara yang sangat kecil dan tidak membawa makna kepada sesetengah pihak seperti dari pihak pembangkang sendiri,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, pembangkang tidak sepatutnya menidakkan pengiktirafan itu kerana ini bermaksud pihak pembangkang menafikan usaha yang telah dijalankan dan diambil oleh penggiat industri.

Nolee berkata, Ipoh sekarang terkenal sebagai satu-satunya bandaraya pelancongan yang dipacu oleh jenama tempatan seperti Weil Hotel, Casuarina, Riverfront, PI Hotel, Indulgence, STG dan Konda Kondi.

“Semuanya anak Perak, ini bermaksud pembangkang menidakkan usaha rakyat Perak sendiri dalam menaikkan nama Ipoh dan Perak melalui pencapaian dan anugerah yang diterima,” ujarnya.

Sepanjang penggulungannya, Nolee sentiasa menyindir pembangkang dengan perkataan ish, ish,ish.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memperkenalkan produk-produk pelancongan baharu dan unik di negeri ini di samping menaiktaraf infrastruktur sedia ada.