SUNGAI PETANI – “Saya duk naik motor sejak muda lagi tapi la ni baru boleh dapat lesen”.

Demikian luahan Abu Bakar Awang, 82, dari Taman Setia Budi, Tikam Batu yang teruja menjadi peserta Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) seterusnya berjaya memperoleh Lesen Kelas B2 Motosikal pada usia 82 tahun.

Menurutnya, selepas ini dia tidak bimbang lagi untuk ke kedai atau pasar berdekatan selepas lebih 60 tahun menunggang motosikal dalam keadaan bersalah tanpa memiliki lesen memandu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, seramai 201 peserta SKSJ yang berumur 45 tahun ke atas diraikan pada Majlis Perasmian Penutup SKSJ & My Prihatin Daerah Kuala Muda sempena Hari JPJ ke-72.

Manakala, dalam majlis sama, seramai 616 peserta berjaya menamatkan Program My Prihatin iaitu melibatkan peserta berumur 16 tahun ke atas bagi golongan miskin bandar.

“Program SKSJ diadakan di daerah ini melibatkan 210 peserta manakala 616 peserta terpilih menyertai Program My Prihatin.

“Sejak diperkenalkan pada 2009, sebanyak 26 siri SKSJ dijalankan di Kedah melibatkan 8,966 peserta manakala bagi jumlah keseluruhan, sebanyak 313 siri SKSJ diadakan di seluruh negara melibatkan 140,099 peserta,” katanya.

Menurutnya, bagi program My Prihatin yang baharu dilaksanakan JPJ, sebanyak dua siri berjaya dilaksanakan, termasuk Kuala Muda melibatkan jumlah peserta seramai 1,033 orang seluruh Malaysia.

Ismasuhaimi berkata, selain Abu Bakar, antara penerima lain yang disenaraikan sebagai peserta SKSJ yang berjaya ialah Che Basah Abu, 70, C Janaki, 58, dan Abdullah Hakimi Abdul Murad, 77.

Selain itu, calon My Prihatin paling muda disenaraikan termasuk Ainun Fatanah Zanuddin, 16, dan Amal Syafiq Zakaria, 17.

Penyerahan replika lesen memandu, pemakaian topi keledar dan vest kepada peserta disempurnakan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain – sinar