IPOH: Kira-kira 600 anggota tentera mula membantu polis dalam operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebagai usaha membendung wabak COVID-19 di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, mereka ditugaskan untuk membantu operasi yang dijalankan oleh semua 15 daerah di seluruh negeri ini.

Menurutnya, mereka juga sentiasa dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah kebersihan dan keselamatan di sepanjang operasi.

“Kita juga menasihatkan dan mengingatkan setiap pagi dengan kebersihan, cuci tangan, jangan pegang muka, kalau balik tu terus menyuci badan, kita pun tak tau kita dalam pertahankan diri kita dan juga rakyat ataupun warga Perak ini daripada musuh yang kita tidak nampak, di mana-mana pun boleh berlaku, pasal musuh ini adalah COVID-19 ini adalah satu musuh yang kita sebenarnya tak nampak.

“Jadi kita perlu sebelum kita membantu masyarakat di luar, kita mesti menentukan yang kita ini memang boleh membantu,” katanya.

Beliau ditemui ketika melakukan tinjauan di sebuah sekatan jalan raya di Ipoh pada Isnin bersama-sama Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Malek Razak Sulaiman.

Menurut Razarudin, pihak polis dan tentera sentiasa mengingatkan anggota masing-masing supaya menjadikan penjagaan kebersihan dan keselamatan sebagai amalan harian.

Dalam pada itu, kata beliau, Perak telah menghadkan hanya antara 20 hingga 30 orang sahaja dibenarkan berada di dalam pasar awam di seluruh negeri itu dalam usaha untuk mengekang penyebaran COVID-19.

Katanya, penguatkuasaan yang dibuat oleh pihak polis mendapati rata-rata warga Perak telah mula memahami dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memurutnya, walaupun terdapat beberapa kes orang awam enggan mematuhi arahan sehingga ada yang didakwa di mahkamah kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas Op COVID-19, ia hanyalah kes terpencil.

“Malah, masyarakat juga di pasar-pasar awam juga telah mengerti bahawa dia menjarakkan diri satu meter dan beratur untuk masuk ke pasar.

“Dalam satu masa kita memberi masa 15 minit di dalam pasar dan di dalam pasar tersebut, mengikut saiznya, kita akan membenarkan 20 sehingga 30 orang sahaja di dalam pasar, itu adalah inisiatif daripada pihak kerajaan negeri sendiri yang dipantu oleh polis, oleh Rela dan juga oleh PBT,” ujarnya.