SUNGAI SIPUT: Seramai 600 murid sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Sungai Siput menerima sumbangan bag sekolah pada program `Back To School’ yang diadakan di Dewan Taman Tun Sambanthan dekat sini pada Selasa.

Program itu yang ditaja oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany.
Hadir sama Pengurus TNB Perak, Ir. Abdul Halim Baharudin dan Pengerusi YAKEB, Datuk Malek Noor.

Devamany berkata, program `Back To School’ ini diadakan di kawasan Parlimen Sungai Siput bagi membantu murid-murid yang tinggal di luar bandar mendapatkan bantuan peralatan persekolahan apabila musim persekolahan bermula.

“Kita faham dalam keadaan ekonomi sekarang ini, ibu bapa amat memerlukan perbelanjaan yang besar untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka.

“Maka sebab itu kerajaan mengambil inisiatif ini membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa,’’ katanya semasa berucap merasmikan program itu.

 


Sementara itu Abdul Halim berkata, TNB Perak bercadang menjadikan program itu sebagai acara tahunan program khidmat dan tanggungjawab sosialnya bagi membantu murid-murid sekolah di luar bandar.

“Kita memilih kawasan Parlimen Sungai Siput ini kerana di sini terdapat ramai murid yang tinggal di luar bandar yang masih memerlukan bantuan kelengkapan persekolahan,’’ katanya.

Malek Noor pula meminta ibu bapa murid supaya sentiasa mengutamakan kepentingan pelajaran anak-anak mereka kerana hanya dengan memiliki pendidikan yang sempurna dapat melahirkan insan yang berilmu.

“Walau apapun cabaran hidup yang bakal ditempuhi pastikan pendidikan anak-anak ini sentiasa diberikan keutamaan agar mereka menjadi insan yang berilmu,” katanya.