MUALIM: Lebih 600 sukarelawan dari institusi pengajian Politeknik telah berkampung selama empat hari khusus bagi membantu menceriakan beberapa buah kampung sekitar daerah ini.

Mereka yang datang bersempena dengan Program CSR Perdana 2017 tersebut merupakan gabungan daripada 12 buah Politeknik seluruh negara dan memilih Muallim sebagai lokasi permukiman mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kasim berkata, kehadiran mereka telah memberi manfaat kepada penduduk di sekitar daerah tersebut.

“Memang ramai mengetahui bahawa pelajar Politeknik dilengkapi dengan pelbagai kemahiran asas melalui kursus mereka justeru kemahiran amali itu mereka telah meringankan beban penduduk dari 12 buah kampung sekitar Muallim.

“Antaranya adalah penambahbaikan pendawaian elektrik dan di 25 buah rumah, sebuah surau malah menambahbaik sebanyak 25 buah rumah,justeru tidak lagi dinafikan apa yang mereka pelajari sememangnya amat berguna buat masyarakat,” katanya ketika dihubungi Suara Perak baru-baru ini.

Malah, kesemua mereka juga mempamerkan sudut kreatif dengan membantu menceriakan suasana dengan mengecat mural serta lukisan di sekitar pekan Slim River.

Tambah Rusnah, sukarelawan tersebut juga mengambil kesempatan itu dengan melaksanakan Outreach Programme di SMK Behrang 2020 dan SMK Slim khusus untuk membimbing para pelajar Tingkatan 5 mengenai peluang untuk melanjutkan pengajian ke Politeknik kelak.

“Pengisian mereka cukup padat, selain aktiviti kesukarelawanan dan bimbingan malah seni, mereka juga mengadakan program E-Usahawan selama dua hari yang membabitkan kumpulan sasar seperti kumpulan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Muallim,” ujarnya lagi.

Rusnah yang mewakili kerajaan negeri berasa amat bertuah kerana terpilih sebagai daerah destinasi gabungan Politeknik seluruh Malaysia yang sudi mencurahkan tenaga,masa malah cuti semester untuk program tersebut.

“Besar ertinya bantuan ini kepada penduduk kampung malah saya harap ianya dapat menjadi contoh kepada belia untuk mengikuti jejak langkah sukarelawan ini untuk mempunyai niat ikhlas dalam membantu orang ramai bukan sahaja melalui wang ringgit, tetapi kudrat dan kemampuan yang ada,” katanya.