PELABUHAN KLANG: Paip dasar laut yang pecah di Terusan Bagan di sini, sejak minggu lalu menyebabkan bekalan air untuk kira-kira 6,000 penduduk terjejas.

Antara kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air itu ialah Pulau Ketam, Bagan Teochew dan Sungai Lima berikutan kerja pembaikan paip berkenaan masih giat dijalankan.

Ketua Kampung Pulau Ketam, Chua Chuan Tie, berkata gangguan yang sudah memasuki hari kelima itu menyebabkan penduduk terputus bekalan air bersih.

“Penduduk setiap hari terpaksa beratur panjang pada waktu tengah hari untuk mendapatkan bekalan air yang dibekalkan ke jeti sementara menunggu kerja pembaikan siap.

“Setiap keluarga dibekalkan dengan 10 liter air bersih bagi keperluan makan dan minum. Mujur ketika ini musim hujan dan penduduk boleh menadah air untuk mandi serta melakukan aktiviti pembersihan,” katanya ketika ditemui NSTP di kampung itu, hari ini.

Bagi Pengurus Hotel Sea Lion Pulau Ketam, Andy Cha, 27, gangguan bekalan air itu menyebabkan peniaga dan penduduk setempat sukar menjalankan aktiviti seharian mereka.

“Tambahan pula, ia berlaku ketika cuti umum dan kami menerima tempahan bilik dua kali ganda berbanding biasa.

“Apabila musim cuti, ramai pengunjung datang ke kawasan ini dan memerlukan kuantiti air yang banyak. Kami terpaksa memperlahankan air tangki bagi mengelak pembaziran.

“Kami mungkin akan menutup operasi hotel buat sementara waktu jika bekalan air gagal pulih dalam masa empat hari,” katanya yang mengharapkan satu kajian penyelesaian jangka panjang dibuat bagi mengelak perkara itu berulang.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Lina Lin Ijin, 31, berkata dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi segala kemungkinan di Pulau Ketam.

Beliau yang sudah sembilan tahun menetap di situ sudah serik dengan kejadian yang turut berlaku pada 2014.

“Ketika itu, gangguan bekalan air agak lama sehingga kami terpaksa mandi menggunakan air mineral yang dibeli di kedai,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan penduduk di tiga kawasan itu mengalami gangguan bekalan air berikutan proses kerja pembaikan paip dasar laut yang pecah di Terusan Bagan, 4 September lalu.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) turut menghantar bantuan bekalan air kepada penduduk di kawasan terbabit dan menjangkakan kerja pembaikan siap dalam tempoh lima hari, bermula Khamis minggu lalu – berita harian