IPOH: Kira-kira 6,000 pengunjung, sebilangan besarnya masyarakat India membanjiri padang SMK Buntong untuk memeriahkan majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Perak 2016 pada Sabtu malam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat untuk bersama-sama rakyat jelata di majlis itu.

Kehadiran pengunjung yang diluar jangkaan itu jelas membuktikan betapa masyarakat India di Buntong menzahirkan kesetiaan mereka kepada Sultan Perak.

 


Sultan Nazrin bersama Tuanku Zara Salim yang tiba pada jam 9.00 malam di padang sekolah disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Bayan dan Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.