BAGAN DATUK: Sebanyak 61 buah sekolah di daerah Bagan Datuk menerima insentif berjumlah RM183,000 daripada kerajaan negeri khusus bagi pembangunan serta penambahbaikan sekolah masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sumbangan itu bakal disalurkan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang kemudiannya akan menyalurkan nilai bersesuaian mengikut keperluan setiap sekolah.

Kata beliau, pihaknya juga tidak melupakan peranan PPD Bagan Datuk dalam mengurus tadbir pendidikan secara sistematik di daerah baharu itu dengan memberikan insentif RM 7,000.

“Ini adalah tanda terima kasih kami kepada semua guru di atas pengorbanan mengajar di daerah ini walaupun agak jauh daripada jalan utama.

“Saya berharap agar sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membantu menggerakkan kelab-kelab guru di sekolah-sekolah sekitar Bagan Datuk, dengan program yang bermanfaat,” katanya ketika berucap di dalam program Perjumpaan Menteri Besar Bersama Warga Pendidik sempena Permukimam Daerah Bagan Datuk di SMK Khir Johari pada petang Rabu.

Dalam program tersebut, pelbagai program sampingan diadakan seperti penyerahan buku kepada Perpustakaan Desa Bagan Datuk hasil inisiatif KPerak Inc serta program Kadet Wartawan Sinar Harian bersama lebih 30 pelajar SMK Khir Johari.