Fenomena ‘food truck’ atau trak makanan yang kini menjadi tumpuan masyarakat telah memaksa pengusaha untuk tampil dengan pelbagai kelainan dan kreativiti bagi menarik pelanggan.

Tidak ketinggalan mengambil peluang populariti konsep jualan makanan bergerak ini adalah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPNP), sebuah agensi kerajaan negeri yang terlibat dengan aktiviti pertanian.

Menamakannya sebagai Trak Makanan Pegro, trak ini menyediakan menu berasaskan makanan laut dan minuman seperti milk shake yang mana kesemua bahan mentahnya merupakan produk pertanian yang diusahakan PPNP.

Selain makanan masak, trak ini juga menjual barang makanan laut sejuk beku dan sayur-sayuran segar keluaran ladang PPNP selain makanan ringan seperti kerepek yang diusahakan secara kontrak dengan masyarakat kampung.

Menurut Eksekutif Pegro, Fakhrul Nawwar Chairul Anwar, kira-kira 28 jenis produk Pegro diletakkan di trak makanan itu bagi memperkenalkan kepada pelanggan kepelbagaian produk yang dikeluarkan PPNP.

“Ia merupakan pertama yang dikeluarkan oleh Perak Agro, anak syarikat yang mengendalikan produk-produk makanan PPNP.

Sebelum ini kami beroperasi dengan membuka gerai-gerai jualan bersempena program tetapi kini kami mempunyai trak bergerak. Lebih mudah untuk sampai kepada pelanggan.

“Keunikan trak Pegro ini adalah semua produk ini hasil produk kami, baik dari sayur-sayuran yang dipetik dari ladang di Kinta Highland (AGROTO), selain hasil laut seperti udang, sotong dan ikan Tilapia yang kami kami bela sendiri,” kata Fakhrul.

 

 

Beliau ditemui semasa Majlis Pra-Pelancaran ‘Pegro Food Truck’ yang disempurnakan oleh isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli di kediaman Menteri Besar pada Sabtu.

Fakhrul berkata, produk makanan laut sejuk beku turut dijual memandangkan sambutan kepada makanan itu sangat menggalakkan.

“Kalau trak makanan lain jual makanan ala-ala hipster seperti burger tapi kita mahu ubah sikit supaya pelanggan dapat memilih makanan yang lebih sihat,mudah dan murah.

Makanan yang sentiasa menjadi ‘trademark’ ialah ‘seafood madness’, iaitu kombo yang menggabungkan sotong, udang dan Tilapia yang diadun bersama tepung goreng. Selain tambahan Manggo Shake dengan harga serendah RM10, katanya.

Katanya buat masa ini terdapat empat orang pekerja yang dipertanggungjawabkan mengurus trak makanan ini.

Fakhrul berkata fokusnya adalah untuk meluaskan pasaran di dalam negeri Perak sebelum melebarkan sayap ke negeri lain.

“Buat masa ini kami beroperasi mengikut program yang berjalan seperti Permukiman Menteri Besar yang sudah berjalan beberapa kali dan destinasi seterusnya adalah untuk bersama di program pemukiman di Taiping minggu hadapan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mencuba menu Trak Pegro dan produk-produknya bolehlah datang ke program Pemukiman Menteri Besar di Taiping yang akan berlangsung dari 22 sehingga 26 November di Taiping.