IPOH: 62 individu, termasuk 13 wanita berusia antara 18 hingga 35 tahun ditahan ketika menyertai pesta liar di sebuah hotel di sini pada malam Sabtu.

Kesemua suspek ditahan kerana positif dadah adalah sebahagian daripada 225 individu yang menghadiri parti liar di tingkat tujuh hotel tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam serbuan jam 11.30 malam itu, pihaknya turut merampas lapan pil dipercayai ecstasy di beberapa lokasi di tingkat berkenaan dan 33.5 gram dadah disyaki ganja.

“Ketika sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak membuat serbuan, didapati pengunjung sedang berhibur dengan muzik yg kuat dari peralatan muzik diiringi oleh DJ.

“Seramai 225 orang iaitu 123 lelaki dan 43 wanita diperiksa dengan 166 dari negeri ini manakala selebihnya dari negeri lain.

“Seramai 62 orang iaitu 49 lelaki dan 13 wanita ditahan kerana positif dadah termasuk seorang pelajar politeknik,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Ahad.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati parti liar berkenaan dianjur oleh satu kumpulan yang aktif melakukan pesta sebegitu di beberapa buah negeri.

“Siasatan awal mendedahkan penganjur adalah satu kumpulan ‘Group Party’ dan iklan dibuat melalui wasap, wechat dan instagram, pelanggan perlu beli tiket untuk masuk iaitu satu tiket RM58 jika ‘early bird’ atau tempahan awal dan RM78 jika ‘walk in.’

“Penganjur difahamkan telah beberapa kali menganjur ‘Private Party’ di Ipoh, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, biasanya di apartment atau bungalow sewa,” jelas beliau.