IPOH: Walaupun baru beroperasi secara rasmi pada 9 Januari lalu, Anjung Singgah telah memberi kepada 62 gelandangan sehingga 10 April 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, daripada jumlah itu, 36 orang menginap dan 26 lagi tidak menginap.

Beliau menambah, 50 daripada gelandangan yang menggunakan khidmat rumah persinggahan sementara itu terdiri daripada kaum lelaki manakala 12 lagi wanita.

Menurut beliau, kerajaan melalui Yayasan Kebajikan Negara telah mewujudkan Anjung Singgah di Bandar Ipoh Raya yang menyediakan 36 buah katil, 24 untuk lelaki dan bakinya untuk kaum wanita.

“Ia adalah pusat rujukan intervensi bagi golongan gelandangan dan menyediakan  kemudahan secara percuma seperti tempat penginapan sementara, khidmat kaunseling samada individu atau kelompok, makanan dan bantuan kebajikan yang diperlukan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Teh Kok Lim (DAP – Pokok Assam) di Sidang DUN pada Selasa.

Rusnah berkata, kerajaan negeri memang sentiasa peka dalam menangani isu pengemis dan gelandangan, terutama melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa agensi penguatkuasaan yang lain.

Beliau memberitahu, antara tindakan yang telah diambil bagi menangani isu pengemis ialah melalui tindakan penguatkuasaan dan pendidikan.