JOHOR BAHRU: Seramai 62 daripada 8,623 kakitangan jabatan kerajaan di negeri ini yang menjalani ujian saringan air kencing, tahun lalu, dikesan positif dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata semua kakitangan itu membabitkan 197 jabatan kerajaan di negeri ini.

Pada saringan awal, beliau berkata, seramai 88 kakitangan dikesan positif dadah tetapi menerusi ujian patalogi, hanya 62 orang disahkan.

Katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor menggunakan pelbagai pendekatan bagi membasmi penyalahgunaan dadah, terutama dalam kalangan kakitangan awam di negeri ini.

Antara langkah pencegahan diambil ialah pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah dengan pengisiannya meliputi taklimat antidadah dan ujian saringan air kencing.

“Kerajaan memandang berat isu penagihan dadah dalam kalangan kakitangan awam dan sentiasa mengambil langkah tegas memastikan mereka tidak terbabit gejala itu.

“Arahan dikeluarkan menerusi Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 1985 bertarikh 29 Januari 1985 memutuskan ketua jabatan mesti menubuhkan Jawatankuasa Antidadah bagi merancang dan melaksanakan program pencegahan serta pembasmian penagihan dalam kalangan pegawai dan kakitangan awam, termasuk ujian saringan air kencing secara mengejut,” katanya.

Ayub berkata, tindakan AADK memastikan semua penjawat awam bebas gejala itu adalah selaras Dasar Dadah Negara 2017 (DDN2017) yang diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac tahun lalu.

“Kerajaan negeri menetapkan objektif Johor Bebas Dadah Menjelang 2018 dengan menyasarkan kadar penyalahgunaan dadah kurang daripada lima peratus jumlah penduduk di negeri ini,” katanya – berita harian