TAIPING – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak telah mengeluarkan bayaran faedah interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sebanyak RM380,000 bagi 622 pekerja di seluruh negeri, bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarahnya, Anthony Arul Dass berkata,  faedah interim itu diberikan kepada pekerja yang diberhentikan kerja di negeri ini disebabkan pengurangan pekerjaan oleh majikan, Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), Skim Pelepasan Sepakat (MMS) penutupan perniagaan dan pengecilan operasi oleh sesebuah syarikat.

“Faedah yang diberikan itu bagi membantu mereka mencari pekerjaan baharu di samping mengurangkan beban kepada anggota keluarga,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian faedah Interim SIP yang disempurnakan Adun Kamunting Dr Ir Muhd Fadhil Nuruddin di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Relong dekat Kamunting hari ini.

Pada majlis itu, seramai 36 pekerja kilang Silverstone Bhd di Kamunting yang diberhentikan kerja menerima faedah interim SIP berjumlah RM21,600 dengan setiap seorang pekerja menerima RM600.

Beliau turut menasihatkan  pekerja terlibat agar membuat tuntutan faedah interim SIP dalam tempoh 30 hari selepas mereka diberhentikan kerja.

“Perkeso akan memproses bayaran itu dalam tujuh hari dan mereka diberikan bayaran tersebut antara tiga hingga 6 bulan dan bayaran itu dihentikan setelah mereka mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

Sehubungan itu, Anthony berkata majikan perlu membuat caruman SIP dengan kadar caruman RM7.90 iaitu 0.2 peratus syer majikan dan RM7.90 (0.2 peratus) syer pekerja daripada gaji bulanan pekerja mengikut Seksyen 16 Akta SIP 2017.

Beliau berkata, sejak dilaksanakan mulai Januari hingga Julai tahun ini, Perkeso Taiping menerima 148 permohonan dan daripada jumlah itu seramai 123 pekerja menerima faedah interim SIP membabitkan RM69,600. -Bernama