IPOH: Sejumlah 629 kompaun telah dikeluarkan terhadap perokok yang merokok di kawasan larangan di negeri ini melalui operasi dijalankan Jabatan Kesihatan Perak (JPN) dari Januari hingga Mei 2017.

Dalam operasi penguatkuasaan peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang telah berjalan selama lima bulan itu juga JPN turut telah mengeluarkan sejumlah 1,119 notis 32B.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, operasi yang dijalankan sebanyak 118 kali itu melibatkan 1,066 premis di sekitar negeri ini.

“Sejumlah 251 kes telah didaftarkan ke mahkamah, 30 kes telah didenda RM11,400 manakala bagi kompaun pula setakat ini yang telah dibayar ialah berjumlah RM75,570.

“Antara kawasan tertinggi kompaun ini dikeluarkan ialah di kompleks membeli belah iaitu sebanyak 275 dan diikuti dengan hentian pengangkutan awam (89), kawasan rehat dan rawat (60) dan larangan merokok terhadap orang belum dewasa (54),” katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas melakukan operasi pemantauan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) di sini pada Sabtu.

Menurut Dr Mah, operasi yang dijalankan secara serentak di seluruh negeri itu bertujuan untuk memastikan orang awam tidak merokok di tempat-tempat yang telah digazetkan sebagai kawasan larangan.

“Dalam operasi ini pegawai berkuasa dari pejabat-pejabat kesihatan daerah akan menjalankan pemeriksaan di semua 46 taman-taman awam yang telah digazetkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

“Jika didapati ada yang merokok akan dikompaun sebanyak RM5,000 dan jika gagal menjelaskan kompuan dalam tempoh ditetapkan akan didakwa di mahkamah,” ujar beliau.