TRONG: Kawasan Bagan Panchor dekat sini mencatatkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) sebanyak 70 peratus, yang paling tinggi di negeri ini, dipercayai akibat kecurian.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kadar itu jauh lebih tinggi berbanding kadar purata NRW negeri iaitu 30 peratus dan di Daerah Kinta hanya 24 peratus.
Menurut beliau, masalah kehilangan air tanpa hasil itu merupakan satu masalah yang serius sehingga menjejaskan bekalan air di kawasan berkenaan.

“Kita tidak mahu membuat spekulasi apa-apa tapi itu merupakan satu masalah serius di kawasan Bagan Panchor ini dan kita tidak mahu akibat kehilangan NRW ini menyebabkan kawasan-kawasan lain di sekitar kawasan ini tidak mendapat sumber air yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja Menteri Besar ke tapak projek pembinaan tangki air ternaik di Kampung Permatang Raja, dekat sini pada Jumaat.

Dr Zambry berkata, pihak Lembaga Air Perak (LAP) telah menjalankan siasatan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya berlaku kehilangan air disebabkan oleh pihak tertentu.
Bagaimanapun, kata beliau, jika kebocoran itu berlaku disebabkan masalah teknikal, pihak LAP akan memperbaikinya.

Beliau mengakui kehilangan sumber air itu adalah merupakan kerugian yang besar kepada negeri Perak.

Dr Zambry turut mengakui terdapat kes-kes kecurian yang berlaku dan penyiasatan terus giat dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

 


Malah, beliau memberitahu, setakat ini sahaja, terdapat dua kes telah dibawa ke mahkamah.
Mengulas mengenai projek pembinaan tangki air ternaik di Kampung Permatang Raja, beliau berharap ia mampu menyediakan sumber air mencukupi kepada masyarakat di beberapa perkampungan berhampirannya seperti Kg Permatang Raja, Kampung Tebuk, Bagan Panchor dan Sungai Tinggi.

 

bagan-panchor-hilang-air-2

“Tangki ini yang ketinggiannya 37.08 meter boleh memuatkan 2.5 juta liter air yang mendapatkan bekalan daripada Kampung Air Terjun yang terletak 14 kilometer dari sini,” ujarnya.

Projek bernilai hampir RM4 juta itu dijangka siap pertengahan tahun 2017.