SERAMAI 65 penduduk dari empat kampung di daerah Selama yang terjejas berikutan banjir dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara yang dibuka awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selama, Fauzi Razali berkata, pada jam 7.51 malam tadi, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian terbabit dan bergegas ke lokasi kampungan terbabit bagi memindahkan mangsa ke lokasi selamat.

 Menurutnya, antara kampung terbabit adalah Kampung Banggol Jas, Kampung Garok, Sungai Berdarah dan Sungai Setar, Selama.
 Katanya, semua mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara di Surau Banggol Jas, Balai Lintang Masjid Al Aziziah Sungai Bayor dan Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Setar.

“Seramai 33 mangsa dari kampung Banggol Jas ditempatkan di surau manakala 18 mangsa dari Kampung Garok dan Sungai Berdarah ditempatkan di Balai Lintang Masjid Al Aziziah, Sungaj Bayor dan 14 mangsa dari Kampung Sungai Setar ditempatkan di dewan orang ramai di situ.

“Setakat ini keadaan banjir nampak mulai surut namun pihak bomba yang dibantu BBP Serdang, Kedah serta beberapa agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau keadaan selain bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk dari Sungai Berdarah, Halimah Junoh, 45, berkata, kejadian banjir itu mula disedarinya sekitar jam 7.45 malam.

Menurutnya, atas nasihat dari pasukan keselamatan dan bimbang dengan keadaan keselamatan keluarga serta seorang anak lelakinya yang akan menghadapi peperiksaan membuatkan dia nekad untuk berpindah ke pusat pemindahan di Balai Lintang Masjid Al Aziziah, Sungai Bayor bersama suami dan empat anak mereka.

-myMetro