IPOH – Sebanyak 66 saman di atas pelbagai kesalahan dikeluarkan melibatkan kenderaan perdagangan seperti bas dan lori dalam satu operasi bersepadu di RTC Gopeng pada Isnin.

Dalam operasi dijalankan 8 agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dua individu turut ditahan selepas didapati positif dadah.

Ketua Trafik Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd Hazil Reza Mohd Ghazali berkata, dalam operasi selama empat jam itu, 12 warga asing turut ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan serta melanggar peraturan imigresen.

Menurut beliau, dua lelaki tersebut ditahan kerana positif dadah jenis ganja dan syabu manakala 12 warga asing itu pula terdiri daripada pelbagai warganegara.

“Empat daripada warga asing itu ialah wanita Filipina dan Indonesia manakala lapan lelaki dari Indonesia, India, Bangladesh dan Myanmar,” katanya pada Suara Perak sebaik operasi itu tamat.

Beliau memberitahu,  operasi yang mempunyai kekuatan seramai 63 anggota termasuk pegawai itu turut telah memeriksa 210 buah kenderaan sepanjang operasi berkenaan.

“Sepanjang operasi yang telah kita buat sejak Februari terhadap kenderaan perdagangan dan pelbagainya di sekitar Gopeng, Gua Tempurung dan Bukit Merah ianya menunjukkan kadar kemalangan telah berkurangan, khususnya kemalangan maut yang melibatkan kenderaan perdagangan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menasihati pengguna jalanraya untuk tidak mengunakan lorong kecemasan.

“Khususnya motorsikal, ianya boleh membahayakan pengguna jalan raya itu sendiri, jadi nasihat saya kepada mereka khususnya waktu cuti sekolah ini kosong lorong kecemasan. Ianya adalah satu kesalahan untuk mengunakan lorong kecemasan,” ujarnya.