IPOH: Seramai 68 daripada 4,133 calon sekolah kerajaan di negeri ini yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 berjaya memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

image3

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Rosli Ahmad berkata, pencapaian itu merupakan peningkatan  0.45 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menyaksikan 49 calon memperoleh keputusan sama.

Menurut beliau, sebanyak 41 sekolah memperoleh pencapaian lulus penuh 100 peratus berbanding hanya 20 buah sekolah pada tahun 2015. 

Malah, seramai 4083 calon dari sekolah kerajaan mendapat keputusan lulus penuh iaitu sebanyak 98.79 sekaligus menampakkan peningkatan sebanyak 1.37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bilangan calon yang lulus dalam kesemua empat mata pelajaran juga telah meningkat sebanyak 0.46 peratus iaitu daripada 1.19 peratus pada 2015 kepada 1.65 peratus tahun ini.

“Bagi sekolah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tsung Wah, Kuala Kangsar berjaya mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi iaitu 3.17 manakala SMK Sam Tet, Ipoh telah mencatatkan bilangan peningkatan PNGK 4.0 tertinggi negeri iaitu seramai 12 calon.

“SMK Dato’ Ahmad, Lenggong pula mencatat lonjakan GPS tertinggi dari 1.93 (2015) kepada 2.65 pada 2016 dengan peningkatan tertinggi iaitu 0.72,” katanya dalam sidang media semasa mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2016 Negeri Bilik Seri Budi, Jabatan Pelajaran Negeri Perak pada Selasa.

Rosli berkata, prestasi negeri Perak dalam STPM juga meningkat sebanyak 1.37 peratus dari segi kuantiti dan 0.11 dari segi Kualiti GPS Negeri.