GEORGETOWN: Tujuh pekerja kilang termasuk seorang wanita cedera apabila bas yang dinaiki mereka terbalik selepas melanggar pembahagi jalan di Paya Terubong, di sini awal pagi ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Yusri Zakaria berkata kemalangan pada 5.57 pagi itu berlaku ketika bas tersebut sedang dalam perjalanan untuk menghantar pekerja ke sebuah kilang di kawasan Bayan Lepas.

“Semasa kejadian terdapat 38 pekerja kilang di dalam bas, iaitu 34 lelaki dan empat perempuan. Tujuh mangsa mengalami kecederaan ringan dan dikeluarkan (daripada bas) oleh orang awam.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya di sini hari ini. – BERNAMA