KOTA BHARU: Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang meminta sedekah di beberapa lokasi bazar Ramadan di negeri ini ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) Kelantan dalam Ops Mega semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kelantan, Ruzaana Mohamed berkata, serbuan dilakukan dalam tempoh dua jam bermula jam 5 petang.

Katanya, warga Thailand, Myanmar dan Kemboja termasuk seorang wanita yang ditahan berusia antara 24 hingga 58 tahun.

“Ketika ditahan mereka sedang meminta sedekah termasuk berkerusi roda di bazar Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kubang Kerian, Kota Bharu dan Wakaf Bharu, Tumpat.

“Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 8(3)(d) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua pendatang kini ditempatkan di Depot Imigresen Tanah Merahuntuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Ruzaana berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan PATI terbabit mengambil kesempatan meraih simpati di kawasan tumpuan ramai sepanjang Ramadan.

“Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa membabitkan sektor pembinaan atau premis perniagaan dan bazar ramadan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya – berita harian