IPOH 16 Okt. – Tujuh penyokong yang ditahan selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, di sini malam tadi direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam.

“Kami akan melakukan siasatan rapi dan tindakan selanjutnya (untuk menyambung reman) akan difikirkan selepas tarikh tersebut tamat 18 Oktober nanti,” katanya.

Dalam kejadian di Stadium Perak malam tadi seorang penyokong JDT dan seorang anggota polis cedera manakala tujuh orang penyokong Perak ditahan kerana mencetuskan kekecohan selepas perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 itu.

Chang Keong berkata, penyokong JDT dari Kluang, Johor yang berusia 31 tahun itu cedera akibat terkena letupan mercun yang dipercayai dibaling semasa mangsa sedang melalui pintu keluar stadium dan meletup pada bahagian badannya.

“Mercun dipercayai dibaling dari tempat duduk bahagian atas stadium. Mangsa dihantar ke hospital dan mendapat rawatan pesakit luar.

“Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang cedera juga turut mendapat rawatan pesakit luar. Dia cedera kerana mukanya terkena batu yang dibaling,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam tadi, kekecohan berlaku di tempat bas penyokong JDT yang diletakkan di tepi stadium ketika penyokong Perak melalui kawasan tersebut.

Ketika itu berlaku provokasi penyokong kedua-dua pasukan namun keadaan dapat dikawal oleh anggota keselamatan dan lapan bas yang membawa penyokong JDT kemudiannya beredar dari kawasan stadium untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sebelum itu, berlaku sedikit kekecohan sebelum tamat perlawanan yang menyaksikan kedua-dua penyokong membaling botol ke padang namun terdapat individu yang tidak dikenal pasti mengeruhkan lagi keadaan apabila membaling mercun ke arah sekumpulan penonton.

Ujar Chang Keong, tujuh individu yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 29 tahun.

Tambahnya, secara keseluruhannya keadaan di dalam stadium ketika perlawanan adalah terkawal.

Sebanyak 1,000 pegawai dan anggota polis serta Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keselamatan di stadium dan bersurai pada pukul 12.15 malam setelah keadaan tenang dan terkawal.

Kebelakangan ini, pertemuan kedua-dua pasukan sering berakhir dengan kekecohan antara penyokong masing-masing, sama ada perlawanan diadakan di Ipoh atau Johor Bahru dan insiden terbaharu ini pastinya memaksa pihak berkuasa memperketatkan lagi kawalan apabila JDT dan Perak bertemu dalam separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada Sabtu ini.

-UTUSAN ONLINE