KUALA LUMPUR: Tujuh sekeluarga dapat menyelamatkan diri biarpun kediaman mereka di Taman Cheras Prima, di sini, terbakar awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kebakaran pada jam 1.50 pagi itu memusnahkan hampir 80 peratus tingkat bawah rumah teres dua tingkat itu.

Katanya, sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dan Pandan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 1.54 pagi.

“Setiba di lokasi kejadian, api marak membakar bahagian bawah sebuah rumah teres dua tingkat dan proses pemadaman dilakukan dengan menggunakan pancutan nozel daripada air tangki pam jentera bomba.

“Ada tujuh mangsa berusia 13 hingga 49 tahun sempat menyelamatkan diri melalui tingkap sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

“Bagaimanapun seorang daripada mereka iaitu remaja perempuan berusia 13 tahun cedera di belakang badan akibat terjun dari tingkat dua,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.

Katanya, api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 2.13 pagi dan operasi tamat sepenuhnya tiga jam kemudian manakala punca kebakaran masih disiasat – berita harian