Dalam usaha mempromosikan Tahun Melawat Perak 2017 yang hanya tinggal beberapa minggu lagi, seramai 70 pemandu pelancong seluruh negara menjelajah melihat tarikan ‎Bandaraya Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, inisiatif tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada golongan yang berpengaruh dalam industri pelancongan itu sendiri merasai pengalaman unik yang ditawarkan pekan Hipster tersebut.
“Mereka akan berbasikal melawat tempat-tempat menarik di Bandaraya ini supaya dengan pengalaman mereka dapati akan mereka kongsikan pula dengan bakal-bakal pelanggan mereka.

“Ini merupakan satu inisiatif yang baik dari pihak swasta khasnya dari Persatuan Pemandu Pelancong dan Mbike di mana mereka mempromosikan Ipoh melalui medium lain iaitu pemandu pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan acara kayuhan basikal di Kinta Riverfront, Ipoh yang turut dihadiri Pengarah Mbike, Camees Foong.

Nolee Ashilin memberitahu melalui program itu juga pihaknya telah menerima pelbagai maklumbalas positif berkenaan produk-produk yang berpontensi untuk dibangun serta dipakejkan di negeri bagi menarik lebih ramai pelancong.

 


Tambahnya kerajaan negeri berharap melalui usaha pelbagai pihak termasuk swasta dalam membangunkan Ipoh dari segi industri pelancongan akan menjadikan bandaraya ini sebagai pilihan utaman untuk melancong berbanding sekadar tempat transit di antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Kebanyakan pelancong hanya singgah di Ipoh sebagai transit untuk satu atau dua malam. Jadi dengan adanya program sebegini, kita harap Ipoh menjadi lokasi sebagai tempat percutian berbanding sebagai lokasi transit untuk pelancong,

“Ini adalah peluang untuk kita memperluaskan lagi usaha pemasaran bagi mempromosikan Perak sebagai satu destinasi yang mesti dilawati bukan sahaja untuk Tahun Melawat Perak 2017, tetapi juga untuk tahun-tahun akan datang,” ujarnya.