IPOH– Kira-kira 70 peratus pemilihan Ketua Kampung di Perak selesai, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi.

Jelasnya, walaupun ada sedikit masalah dalam pemilihan ini, namun beliau yakin ianya dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Mereka adalah muka baharu dan muka lama yang berstatus profesional, tiada rekod muflis dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Meru, di sini pada Sabtu.

Asmuni yang juga selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata Ketua Kampung yang dilantik akan memulakan tugas masing-masing bermula 1 Julai depan.

Dalam pada itu katanya, terdapat muka-muka lama yang dikekalkan setelah mendapat persetujuan oleh JKKK.

Beliau bercadang untuk menggabungkan kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang kecil dan melantik Ketua Kampung.

Sebagai contoh katanya, seperti di Manjoi terdapat kawasan penduduk India yang berselerak dan perlu digabungkan untuk memilih Ketua Kampung.

“Perkara ini akan dibawa untuk mendapat persetujuan Exco,”katanya.

Sementara itu mengenai tindakan Gerakan keluar dari Barisan Nasional (BN), beliau telah menjangkakan perkara ini akan berlaku kerana BN ibarat sudah hilang taring.

“Sebelum ini UMNO tidak menggunakan prinsip sama rata, dan sebuah parti yang mendominasi parti lain.

“Bila UMNO sudah tidak kuat, maka parti lain sudah hilang hormat.

“Gerakan mungkin merasakan tiada gunanya untuk berjuang dalam BN, lebih baik keluar dari BN dan mencorak hala tuju mereka sendiri,”ujarnya.