ALOR SETAR: Sebanyak 70 sekolah rendah seluruh negara bakal menjadi pusat untuk pelaksanaan Program Pembangunan Bakat Badminton bawah Kementerian Pendidikan.

Program lima tahun itu ditaja pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), bertujuan mengesan dan melatih bakat muda dalam sukan badminton negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata program pembangunan bakat itu dijadualkan bermula bulan depan dan murid terpilih akan menjalani latihan di sekolah tersenarai.

“Program memfokus latihan kanak-kanak berusia sembilan hingga 11 tahun, dalam usaha melahirkan generasi pemain badminton negara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program itu di Dewan Al-Farabi, Pusat Teknologi Pendidikan Alor Setar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, setiap sekolah terbabit bakal memiliki dua jurulatih untuk membimbing 40 murid.

Katanya, PERODUA memperuntukkan RM1.2 juta hingga RM1.5 juta bagi penajaan program itu, termasuk penyediaan peralatan, modul latihan, bayaran elaun kepada jurulatih dan penganjuran pertandingan.

Beliau berkata, kejohanan peringkat daerah akan berlangsung pada Ogos depan, diikuti negeri (September) dan seterusnya kebangsaan (Oktober).

Sebanyak 10 pusat itu akan dibuka di Sabah, Sarawak (sembilan), Selangor (tujuh) dan masing-masing lima di Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak serta Kedah.

Tiga pusat di Pulau Pinang dan masing-masing dua di Melaka, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur serta Perlis, manakala baki satu lagi di Labuan.

Sementara itu menyentuh isu lain, Mahdzir berkata, kementerian sudah mengeluarkan garis panduan kepada sekolah bagi mengurangkan masalah beg berat.

Katanya, masalah itu mungkin mengambil masa untuk diselesaikan sehinggalah semua sekolah melaksanakan pembelajaran digital.

“Kementerian sudah mengadakan kajian rawak dan mendapati masalah ini banyak berlaku di sekolah aliran Cina.

“Hasil kajian menunjukkan purata berat beg sekolah dibawa ialah 7.3 kilogram (kg),” katanya.

BH sebelum ini melaporkan masalah beg sekolah berat dihadapi murid, terutama Tahun Satu, sehingga ada yang mencecah hampir 10kg.

Tinjauan BH sebelum ini juga menunjukkan beberapa sekolah menyediakan loker dan rak khusus untuk murid menyimpan buku di dalam kelas, selain ada yang melaksanakan jadual anjal – berita harian