KUALA KANGSAR: Kira-kira 7,000 orang mengambil bahagian dalam Larian Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bermula di Dataran Pavilion di sini, hari ini.

Lebih meriah apabila Sultan Nazrin bersama-sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mengambil bahagian di dalam kategori orang kenamaan.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan barisan exco kerajaan negeri.

Turut memeriahkan larian ialah para pemain bola sepak yang menjuarai Piala Malaysia dan pemain hoki yang turut menjuarai Piala Razak, baru-baru ini.

Mereka mengambil bahagian di dalam kategori tetamu kehormat dengan jarak larian 2.8 kilometer.

Acara dimulakan kira-kira jam 6.45 pagi apabila Sultan Nazrin berkenan melepaskan para peserta larian bagi kategori 15, 10 dan tujuh kilometer.

Selepas semua peserta dilepaskan, adinda Sultan Perak, Raja Datuk Seri Yong Sofia kemudiannya melepaskan peserta tetamu kehormat, kira-kira jam 7.20 pagi.