TELUK INTAN: Sebanyak 700 ribu benih udang galah dan ikan telah dilepaskan oleh Jabatan Perikanan Perak di seluruh negeri sejak Januari hingga April 2017.

Pengarah Perikanan Negeri, Dr Bah Piyan berkata fokus utama perlepasan dijalankan sewaktu Program Permukiman Menteri Besar yang berlangsung di daerah Bagan Datuk, Perak Tengah dan kini melangkah ke Teluk Intan.

Jelasnya, perlepasan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama penduduk kampung serta agensi terlibat khusus bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

“Sehingga permukiman kali ini, sebanyak 700,000 benih udang galah dan ikan telah dilepaskan dan bagi udang galah, ianya meliputi Kg Pulau Tiga, Perak Tengah (100,000 benih) dan hari ini, Kg Durian Sebatang, Teluk Intan (112,000 benih) dan selebihnya benih ikan di kawasan sekitar negeri.

“Manakala bagi daerah Bagan Datuk pula, kita melepaskan 3,000 induk udang galah di Kg Kota, di mana sepasang induk boleh menghasilkan sebanyak 3,300 benih justeru, 1,500 pasang jika dibiarkan hidup boleh mencecah 4,500,000 benih dalam satu pusingan,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau berkata demikian dalam Program Pengukuhan Nelayan Darat Daerah Hilir Perak bersempena dengan Program Permukiman Menteri Besar di Hilir Perak pada pagi Selasa.

Dr Bah Piyan berkata pihaknya akan melaksanakan pemantauan berkala bersama agensi terlibat bagi memastikan kualiti air dan keadaan persekitaran di Sungai Perak berada dalam tahap yang baik.

“Salah satu sebab kita memilih untuk melepaskan benih udang galah adalah kerana ianya mempunyai nilai agak tinggi, RM70 bagi sekilo untuk yang hidup dan RM50 sekilo bagi udang galah mati dan pasarannya agak stabil, justeru dapat membantu rakyat setempat di negeri ini,”katanya lagi.
Program yang dihadiri oleh ADUN Trong, Datuk Dr Zabri Abd Wahid itu turut mendapat pengisian pelbagai khusus kepada nelayan darat yang datang dari kawasan sekitar.

Dr Zabri berkata pihaknya akan cuba mempertimbangkan subsidi minyak bagi nelayan darat bagi membantu meringankan beban selain daripada elaun sara hidup sebanyak RM200 yang diberikan buat masa ini.

“Kerajaan negeri sedar dan prihatin dengan pelbagai masalah melanda golongan nelayan, baik laut atau darat contohnya pada hari ini kita bersama mempelajari Kursus Penyelenggaran Enjin Bot agar kita tahu asas membaiki, kerana ramai yang terpaksa membawa enjin mereka ke luar dan menelan kos tinggi sekiranya rosak.

“Pada masa akan datang, kita akan fikirkan lebih banyak inisiatif untuk golongan nelayan agar mereka juga dapat menjana pendapatan, mencari rezeki di Sungai Perak iaitu mata pencarian mereka dan banyak lagi,” katanya lagi.