Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH – Seramai 707 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri, Mat Lazim Idris berkata, jumlah tersebut bagaimanapun menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 890 orang.

Bagaimanapun, jelas beliau, terdapat peningkatan dari segi Gred Purata Negeri (GPN), iaitu kenaikan sebanyak 0.05 mata iaitu 5.17 berbanding 5.22 pada tahun 2015.

“Sebahagian besar calon SPM 2016 yang memperoleh keputusan cemerlang terdiri dalam kalangan mereka yang mengambil sembilan dan sepuluh mata pelajaran.

“Daripada jumlah calon cemerlang berkenaan, lima calon mengambil lapan mata pelajaran, 275 calon (9), 306 calon (10), 109 calon (11) dan 12 calon (12).

“Bagi mata pelajaran teras, subjek Sains menunjukkan peningkatan terbaik manakala mata pelajaran teras lain iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik menurun,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 di Bilik Mesyuarat Seri Budi, Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada pagi Khamis.

Mat Lazim berkata, dari segi indeks, jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar juga menurun sebanyak 0.01 mata GPN, namun pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.