Jika kapal cruise terkenal dengan pakej membawa penumpang belayar di lautan, pakej percutian Houseboat Tasek Temenggor, Royal Belum, Gerik pula menawarkan pakej percutian belayar mengelilingi tasik.

Impian menikmati percutian eksklusif sebegini, tidak menuntut seseorang ‘berpoket tebal’ namun ia masih boleh memenuhi hasrat mereka yang mengidamkan pakej pelancongan persis di atas kapal cruise mewah.
Ibarat Menaiki Kapal Cruise

Namun apa yang pasti memilih percutian di Houseboat Tasik Temenggor boleh dikatakan jauh lebih mengujakan dek kerana aktiviti dan perkhidmatan lengkap ditawarkan kepada pengunjung yang gemarkan ketenangan semulajadi di sini.

Ianya juga hotspot terbaik untuk kaki pancing yang inginkan habuan ikan Sebarau dan Tioman, malah turut menarik minat pelancong dari Jepun, China dan Taiwan saban tahun.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Tasik Temenggor, Faridzul Atras Roslan, terdapat kira-kira 15 buah houseboat dengan rekaan yang berlainan khusus bagi memenuhi citarasa dan permintaan dari pelanggan.

houseboat-2
“Ada macam-macam rekaan dan kelas tersendiri, seperti elegan, kampung dan nature.

Houseboat ini sebenarnya sudah wujud sejak lima tahun lepas, cuma dua tahun kebelakangan ini permintaan semakin meningkat daripada pelancong untuk nikmati pengalaman di houseboat.

Konsep yang berlainan ini tercetus kerana permintaan pelanggan yang berbagai. Memilih bercuti di houseboat ini seperti bercuti dengan pakej cruise juga. Malah melalui permerhatian kami percutian sebegini, misalnya bersama ahli keluarga dapat eratkan silaturrahim. Kita susun aktiviti sepanjang hari supaya mereka boleh lari dari kebiasaan berbanding percutian di darat,” jelas Faridzul.
Lokasi Menarik Tasik Temengor

Menariknya houseboat ini tidak tertumpu bergerak ke satu lokasi sahaja, ia akan menuju ke beberapa tempat menarik di sepanjang Tasik Temenggor. Pelancong juga berpeluang melihat keindahan hutan yang masih belum ‘disentuh’ dengan aktiviti pembangunan.

“Kita bergerak ikut kehendak pelancong berdasarkan pakej yang mereka pilih. Sebagai contoh dua hari satu malam, kita akan bergerak dari jeti ke spot menarik seperti Taman Negeri dan produk pelancongan yang ada di sini.

houseboat-4
Berkenaan makanan pula usah bimbang sebab mereka diberi dua pilihan samada mahu bawa bekalan sendiri atau pilih pakej penuh termasuk dengan penyediaan makanan dari tukang masak di houseboat,” kata Faridzul.

Guna Modal Dari Duit Poket Sendiri

Apa yang membanggakan adalah inspirasi 140 orang ahli Persatuan Pengusaha Pelancongan Tasik Temenggor dalam membangunkan industri pelancongan housseboat ini menggunakan modal dari duit poket masing-masing.

Usaha ini boleh dikatakan sebagai satu kejayaan besar anak tempatan di Gerik.

“Setakat ini semuanya kita keluarkan duit poket sendiri, melalui tabungan dari ahli persatuan. Jika nak ikut pasran harga semasa, modal untuk menghasilkan sebuah houseboat menelan belanja lebih kurang RM 200,000.
Menurutnya lagi houseboat ini diberikan nama yang ada kaitan dengan Hutan Simpan Belum seperti ‘Arus Belum’ dan ‘Rafflesia Cruise’.
houseboat-3
Ahli-ahli dalam persatuan houseboat ini terdiri daripada mereka yang terlibat dengan aktiviti di Tasek Temenggor seperti pengusaha bot, houseboat, hotel dan katering, katanya.

Faridzul berkata berikutan sambutan memberangsangkan daripada pelancong beberapa bank telah menyatakan minat untuk melabur bersama ahli persatuan untuk majukan aktiviti pelancongan houseboat ini.

“Kami kini dalam proses meneliti lebih lanjut cadangan ini termasuklah pilihan membuat pinjaman dan pembelian bot,” katanya.

Homestay ‘Bergerak’

Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan bagi percutian houseboat ini. Bagi houseboat lapan bilik ia boleh menampung sehingga 30 penumpang manakala sederhana besar dengan enam bilik boleh memuatkan sehingga pula 20 orang.
“Harganya berbeza ikut pakej, biliknya lebih kurang seperti homestay tapi ini seakan-akan homestay bergerak.Kalau dua hari satu malam, misalnya pakej minimum adalah RM 240 dan ke atas bergantung kepada tambahan perkhidmatan. Berlainan pula bagi pakej sport fishing yang lebih mahal kerana aktiviti yang ditawarkan menjurus kepada memancing dan menangkap ikan,” katanya.

Pakej sport fishing antara yang mempunyai permintaan tinggi. “InsyaAllah pada awal bulan Oktober nanti akan dianjurkan Sports Fishing Challenge di sini,” kata Faridzul.
Antara aktiviti percutian houseboat termasuk menjejaki bunga Rafflesia, kunjungan ke perkampungan Orang Asli, treking ke air terjun dan berendam di Sungai Kooi dan Sira Papan
“Namun begitu aktiviti ini akan diubahsuai sekiranya cuaca tidak mengizinkan atau kawasan itu ditutup atas arahan pihak berkuasa Taman Negeri Royal Belum,” kata Faridzul.