IPOH: Sebanyak 73 daripada 130 buah sekolah tahfiz dan pondok di negeri Perak tidak mematuhi piawaian kebakaran yang ditetapkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Daripada jumlah 73 itu, 69 buah telah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Pendidikan Negeri manakala empat lagi masih belum berdaftar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, ekoran daripada itu, pihak bomba telah mengambil beberapa langkah.

Menurut beliau, antara langkah itu ialah mengeluarkan 27 notis menghapus bahaya kepada 27 buah sekolah dan 46 arahan pentadbiran kepada 46 buah sekolah.

“Langkah bomba seterusnya ialah menubuhkan skuad bomba yang telah bermula Mei lalu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 53 skuad bomba telah ditubuhkan di negeri Perak yang bertindak sebagai `first responder’ sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan di sekolah tahfiz di negeri ini.

Daripada jumlah itu, sembilan telah menamatkan latihan mengikut modul dan telah dianugerahkan sijil penghargaan.

Manakala bakinya, kata beliau, sebanyak 44 masih sedang menjalani latihan dan modul yang disediakan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Mereka didedahkan dengan modul teori dan amali seperti kaedah menggunakan alat pemadam api mudah alih, pepasang keselamatan kebakaran dan teknik menyelamat,”

Menurut Rusnah, pihak bomba juga telah memberikan alat pemadam api kepada sekolah-sekolah tahfiz yang belum memilikinya.

Beliau memberitahu, pihak bomba telah menubuhkan satu pasukan tindakan khas untuk membuat pemeriksaan keselamatan di semua sekolah tahfiz dan pondok di negeri ini.

Katanya, sebanyak 10 pasukan pemeriksa yang terdiri daripada 28 pegawai bomba dilantik untuk terlibat secara langsung membuat pemeriksaan dan memberi khidmat nasihat kebakaran.