KUALA LUMPUR: Seramai lapan lelaki termasuk tujuh warga asing terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis di negara ini, ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tiga serbuan serentak di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor pada 24 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata semua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis sama ada sebagai pelajar, bekas tenaga pengajar atau bekas pelajar.

“Tangkapan ini dibuat susulan maklumat risikan diperoleh pihak polis berhubung usaha sebuah kumpulan pengganas yang berpegang kepada ideologi Salafi Jihadi di Yaman untuk menubuhkan pusat pengajian Islam di Asia Tenggara bagi menyebarkan fahaman itu.

“Siasatan awal pihak polis dan perkongsian maklumat risikan dengan agensi perisikan asing mendedahkan bahawa tenaga pengajar asing serta pelajar asing di pusat pengajian Islam itu mempunyai hubungan dengan sebuah madrasah di Dammaj, Yaman diasaskan oleh Syeikh Muqbil bin Hadi Al Wadi’i yang juga seorang tokoh Salafi Jihadi ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pertama di Perlis membabitkan lima warganegara sebuah negara Eropah dan seorang warganegara sebuah negara di benua Amerika.

“Keenam-enam suspek berusia 24 hingga 38 tahun adalah pelajar di sebuah pusat pengajian Islam di Perlis. Seorang daripada suspek yang ditahan adalah adik ipar kepada seorang rakyat dari sebuah negara jiran di Asia Tenggara mempunyai hubungan dengan Madrasah Syeikh Muqbil di Yaman dan juga menjalani latihan senjata api.

“Hasil maklumat risikan diperoleh daripada agensi perisikan asing mendedahkan keenam-enam suspek sama ada mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh atau kumpulan ekstremis lain yang bergerak di negara asal mereka,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan kedua di Kuala Lumpur membabitkan seorang suspek warganegara sebuah negara di Asia Barat berusia 33 tahun yang juga bekas tenaga pengajar di pusat pengajian Islam sama di Perlis.

“Suspek aktif menganjurkan kelas agama yang tidak mendapat tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri bagi tujuan menyebarkan ideologi Salafi Jihadi dalam kalangan rakyat di negara ini di sekitar Lembah Klang

“Tangkapan ketiga di Muar, Johor pula membabitkan seorang warga tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai peniaga.

“Suspek adalah bekas pelajar di pusat pengajian Islam sama pada 2014. Suspek menolak sistem demokrasi yang dianggap toghut dan menyokong pelaksanaan sistem khalifah di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, madrasah di Yaman itu berpegang kuat dengan ideologi Salafi Jihadi yang menghalalkan pembunuhan orang bukan Islam dan orang Islam yang tidak sealiran dengan mereka dianggap kafir serta melabelkan sistem demokrasi sebagai toghut (tidak mengikut hukum Allah).

“Hasil soal siasat awal terhadap suspek yang ditahan mendedahkan bahawa mereka menolak sistem demokrasi dan ditanam dengan fahaman ekstrem seperti lelaki dan wanita diharamkan memakai seluar.

“Mereka juga mendakwa pengajian sekular di institusi pengajian tinggi awam serta swasta adalah haram, tidak dibenarkan bekerja kerana terdapat percampuran lelaki dan wanita selain melabel umat Islam lain yang mengamalkan perkara itu sebagai ‘bidaah’ serta terkeluar daripada Islam.

“Buku yang dirampas daripada suspek kebanyakan ditulis oleh tokoh-tokoh Salafi Jihadi,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, PDRM adalah bagi membendung penyebaran ideologi Salafi Jihadi yang menjadi pemangkin kepada tindakan ganas kumpulan seperti Islamic 4 State, Al-Qaeda, Jemaah Islamiah, Kumpulan Abu Sayyaf, boko haram dan lain-lain.

“Ini bukanlah kali pertama elemen Salafi Jihadi asing menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyebarkan ideologi Salafi Jihadi dan merekrut anggota baru,” katanya – berita harian