NEW YORK: Britain, Perancis, Amerika Syarikat (AS) berserta lima negara lain menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membincangkan nasib ratusan ribu pelarian Rohingya yang melarikan diri dari kekejaman tentera di Myanmar, kata diplomat.

Majlis berkenaan bakal mengadakan pertemuan pada Selasa depan bagi mendengar pembentangan laporan Pelarian Fillipo Grandi oleh Suruhanjaya Tinggi PBB berhubung krisis yang dicetuskan tentera Myanmar di Rakhine sejak Ogos tahun lalu.

Sweden, Poland, Belanda, Kazakhstan dan Guinea Khatulistiwa menyuarakan hasrat menyertai perbincangan bersama tiga anggota tetap majlis berkenaan.

Pertemuan itu diadakan hampir tiga bulan selepas Majlis mempertimbangkan cadangan mengekang kuasa tentera Myanmar sekali gus membenarkan pelarian Rohingya pulang semula ke kampung halaman mereka.

Lebih daripada 750,000 pelarian Rohingya dilaporkan melarikan diri dari negara majoriti penduduk Buddha itu ke Bangladesh akibat trauma dengan kekejaman tentera yang membunuh, merogol malah membakar perkampungan mereka.

Bulan lalu, Bangladesh dan Myanmar bersetuju menghantar pulang pelarian dalam tempoh dua tahun, namun PBB menyatakan kebimbangan selepas agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) disingkirkan dari perjanjian itu.

Perhimpunan Agong pada Disember mengangkat satu resolusi yang meminta Setiausaha Agong, Antonio Guterres menamakan seorang duta khas ke Myanmar namun perlantikannya belum diputuskan.

China yang menyokong kuat mantan pemerintah Junta di Myanmar serta Russia mengundi menentang resolusi berkenaan. Kedua-duanya memegang kuasa veto dalam majlis berkenaan.

Kerajaan Myanmar enggan menerima lawatan wakil khas ke wilayah Rakhine dengan alasan ‘ia bukan masa yang sesuai,” kata Duta Besar Kuwait Mansour al-Otaibi. – berita harian