SUNGAI SIPUT: Program berkhatan Perdana Kawasan Parlimen Sungai Siput yang julung kalinya diadakan diperkarangan SMK Bawong pada Sabtu bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan malah berjaya mendidik masyarakat Orang Asli tentang pengertian sebenar berkhatan untuk menjaga kebersihan diri.

Lebih menarik lagi enam peserta program itu adalah peserta dewasa manakala 80 peserta lagi terdiri daripada murid dan pelajar menengah.
Program itu diianjurkan oleh Pusat Khidmat Adun Lintang dengan kerjasama Perkhidmatan Kesihatan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Mohd Jamalludin Kasbi yang mewakili Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Hadir sama Adun Lintang, Datuk Zolkafli Harun.

Menurut Datuk Zolkafli, program itu bukan sahaja memberi perkhidmatan berkhatan percuma kepada peserta malah membantu meringankan kos perbelanjaan untuk mereka mendapatkan perkhidmatan itu di klinik kerajaan ataupun swasta.

“Jika ke klinik kerajaan, mereka perlu keluar dan ini melibatkan kos pengangkutan dan jika ke klinik swasta pula, mereka terpaksa bayar RM150 bagi setiap anak. Jadi menerusi program ini mereka dapat perkhidmatan percuma tanpa perlu keluarkan apa-apa kos.’’ katanya.

Mohd Jamalluddin Kasbi pula berkata program ini merupakan satu program yang baik selain merupakan satu tuntutan dari segi agama.

“Sesungguhnya kebersihan itu adalah satu asas bukan sahaja kepada kebersihan fizikal yang boleh kita lihat tetapi dengan adanya berkhatan ini ia juga merupakan satu tuntutan dari segi agama, jadi program ini adalah satu program yang baik.’’ Katanya.

Sementara itu seorang peserta orang asli yang ditemui, Junni Long, 32, dari Kampung Cheneian berkata, lewat usia tidak menjadi halangan untuknya menyertai program itu bersama peserta muda lain.

Malah katanya, pemahaman sebenar berkhatan untuk menjaga kebersihan diri telah mendorong dirinya untuk menyertai program berkhatan ini.

 

“Saya melihat berkhatan baik daripada segi penjagaan kebersihan badan kita daripada terdedah sebarang penyakit dan jangkitan kuman apatah lagi ketika ini banyak kes jangkitan kuman yang berlaku di beberapa kawasan penempatan Orang Asli kerana tidak mementingkan soal kebersihan.’’katanya.