IPOH – Kira-kira 80 peratus daripada 1,200 anggota Bomba di negeri ini bekerja mengikut giliran sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Datuk Yahya Madis berkata manakala 20 peratus lagi atau 240 anggota dibenarkan bercuti.

“Mengikut giliran yang telah ditetapkan, anggota yang mendapat giliran bercuti pada hari pertama Syawal dikira beruntung.

“Selain daripada itu, pegawai-pegawai kanan juga kita buat jadual on call di mana setiap hari ada tiga orang yang akan duduk di bilik gerakan dan membuat rondaan memantau perjalanan operasi serta melawat di balai-balai tertentu,” ujar beliau di dalam satu sidang akhbar selepas melawat ke pos kawalan bomba sempena Ops Raya 2018 di susur keluar tol Tapah di sini, hari ini.

Beliau berkata bomba juga mewujudkan pos kawalan di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan ada empat tempat iaitu Tol Tapah, Tol Slim River, Tol Kuala Kangsar dan juga Tol Kamunting bermula dari 8 Jun sehingga 22 Jun, melibatkan keseluruhan 40 orang anggota dan tiga shif.

“Bomba memperuntukkan 10 anggota di setiap pos yang akan bekerja untuk 12 jam pada satu shif.

Tujuan kita mengadakan pos-pos kawalan ini bersama dengan agensi-agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan ialah untuk kita memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan berkesan membantu pengguna-pengguna terutamanya di lebuhraya yang mana kadar aliran trafik lebuhraya di musim perayaan ini sememangnya bertambah apatah lagi pada tahun ini hari raya jatuh pada tengah-tengah musim cuti sekolah.

“Ini menyebabkan sekiranya Bomba menerima panggilan-panggilan kecemasan samada kebakaran, kemalangan dan sebagainya keadaan ini akan menyebabkan sedikit gangguan perjalanan ke tempat kejadian,” tambahnya.

Yahya berkata antara kemudahan-kemudahan yang disediakan selain daripada jentera bomba yang melibatkan kereta tangki, juga terdapat unit Motosikal Bomba, dan juga unit Emergency Medical Rescue Services yang merupakan peralatan penting yang diperlukan sekiranya berlaku kecemasan di jalanraya.

Beliau juga menasihatkan para pengguna jalanraya untuk membuat persiapan awal, termasuk memastikan rumah yang ditinggalkan bebas daripada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran dan memaklumkan kepada komuniti setempat yang rumah mereka kosong kerana pulang ke kampung.

“Selain itu, pastikan diri berada di dalam keadaan segar dan sedia untuk memandu untuk perjalanan yang jauh. Saya juga ingin menyarankan agar para pemandu dan pemilik kenderaan untuk menyediakan alat pemadam api mudah alih tambahan yang boleh membantu sekiranya berlaku kebakaran pada kenderaan yang mereka bawa dan juga kalau ada kenderaan lain yang terbakar kerana banyak kes kebakaran kenderaan sekarang ini di atas jalanraya,” katanya lagi.