SLIM RIVER: Lebih 80 peratus daripada 60,000 usahawan di Perak berada dalam kategori mikro dengan hasil jualan kurang RM200,000 setahun, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan negeri mewujudkan satu pelan tindakan strategik untuk memperkasakan keupayaan perniagaan usahawan di negeri ini.

Menurutnya, menerusi pelan tersebut yang memberi penekanan kepada enam fokus utama, kerajaan negeri mahu menambah bilangan usahawan yang mempunyai nilai jualan tahunan antara RM200,000 dan RM500,000.

“Kita mahu menperkasakan usahawan kita supaya lebih berdaya maju dan berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Negeri Perak di Dewan Restoran KY di sini pada Rabu.

ushawan-perak 2

Bagi tujuan sama, Samsudin memberitahu, banyak aktiviti dan program keusahawanan telah dianjurkan oleh pelbagai pihak, khususnya untuk orang muda.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kecewa kerana sambutan dan penyertaan daripada orang muda sangat mendukacitakan, kecuali bagi program yang dianjurkan untuk golongan wanita.

“Kita memberi ilmu secara percuma, makan percuma dan ada juga yang diberi elaun kehadiran tetapi malangnya ada yang tidak mahu datang,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Samsudin berkata, kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Usahawan Negeri Perak di Meru Raya turut membantu usahawan di negeri ini untuk mendapat pengiktirafan sijil halal.

Katanya, pada setiap minggu, pihaknya memanggil ketua-ketua jabatan yang berkenaan untuk membantu memudahkan usahawan mendapat sijil halal.

Di majlis itu, Samsudin turut menyaksikan penyerahan mock cek bernilai RM2.484 juta bagi pinjaman yang diluluskan kepada usahawan TEKUN negeri Perak sepanjang bulan Jun 2017.