Kuala Lumpur: Mereka bukan orang politik tapi dalam musim pilihan raya umum seperti sekarang, peranan mereka diperlukan oleh calon yang bertanding bagi memastikan kejayaan dan kelancaran gerak kerja berkempen.

Mereka ialah pengawal peribadi yang kini khidmat mereka ditagih baik calon, mahupun VIP parti.

Presiden Persatuan Pengawal Peribadi (BGM) Bakrin Eboh berkata, terdapat lebih 800 pengawal peribadi berdaftar dengan pihaknya dan hampir semua mereka sudah ditempah dan mempunyai tugas tersendiri sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Menurutnya, jadual tugasan mereka juga lebih mencabar berbanding pada waktu biasa apabila pengawal peribadi terbabit akan bekerja lebih masa, selain perlu sentiasa mengiringi majikan ke majlis tertentu untuk berkempen atau bertemu pengundi.

“Tugas utama pengawal peribadi ialah menjadi perisai kepada orang yang dilindungi, selain membantu memastikan keadaan persekitaran bebas daripada sebarang ancaman,” katanya kepada Harian Metro.