GOPENG: Seramai 800 murid dari kumpulan asnaf di Parlimen Gopeng menerima bantuan kelengkapan persekolahan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Penyampaian bantuan disempurnakan Ahli Dewan Negara, Datuk Hamzah Kassim dalam majlis khas di Dewan Besar KEMAS Parlimen Gopeng di sini, pada Khamis.

Hamzah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gopeng berkata, 300 murid dari Zon Kinta Selatan menerima sumbangan hari ini manakala baki 500 lagi dari Zon Kinta Utara akan menerima pada 10 Februari depan.

bantuan_sekolah 3

Beliau berharap sumbangan bernilai RM200 setiap seorang itu akan meringankan beban ibu bapa untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik dan sentiasa berusaha untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan baucer bantuan persekolahan itu.

Di dalam ucapannya, Hamzah berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat, termasuk golongan pelajar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka supaya jangan mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah negatif, khususnya di dalam media baru, kononnya negara akan muflis

“Kalau muflis, tidak mungkin kerajaan dapat menyediakan bajet yang cukup baik untuk rakyat,” ujar beliau.